
MITA CADANG BUKA LALUAN UDARA TERUS MONGOLIA KE MALAYSIA
KOTA LAKSAMANA 28 April – Pembukaan laluan udara menerusi penerbangan terus dua hala antara Mongolia ke Malaysia dilihat berpotensi besar untuk membantu merancakkan lagi sektor pelancongan negara ini khususnya Negeri Melaka.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Mint Leong berkata, mengambil kesempatan atas pelaksanaan pembukaan laluan baharu Mongolia ke Singapura menerusi Mongolian Airlines (MIAT), pihaknya akan mencadangkan perkara itu bagi pertimbangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, usaha itu sebagai langkah untuk menarik pelancong dari Mongolia dan Buryati, Rusia ke Malaysia tanpa perlu melalui Singapura.
“Malaysia setakat ini belum ada penerbangan terus ke Mongolia atau ke Rusia, namun negara jiran Singapura telah membuka laluan baharu itu untuk menarik pelancong dari kedua-dua negara tersebut. Dari Singapura mereka boleh menaiki Scoots Airlines terus ke Melaka sebagai contoh.
“Bagaimanapun penerbangan terus itu hanya dibuka dari Mac hingga November sahajadan MITA akan melobi MIAT Airlines untuk membuka laluan baharu penerbangan terus Mongolia ke Malaysia.
“Kita mahu beri peluang dan memudahkan pelancong luar ini menerokai keindahan alam semula jadi, menikmati kelazatan makanan tradisional, diberi pendedahan berhubung kepelbagaian etnik dan budaya yang ada di negara kita selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi tepat untuk percutian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pengenalan Produk dan Sesi Padanan Niaga Bersama Agen Kembara dari Buryatia, Rusia dan Mongolia di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Kanan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Asmaliana Ashari dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Mint Leong berkata pada program sesi padanan niaga itu pihaknya telah membawa lebih lapan wakil ejen kembara dari Mongolia dan Buryatia ke negeri-negeri tier pertama dalam negara.
“Kita bawa mereka pergi ke negeri tier pertama dari sektor pelancongan domestik seperti Melaka sebagai bandar warisan yang penuh dengan nilai sejarah, Sabah dengan pulau-pulau yang cantik, Johor di Desaru yang mana pantainya menarik serta beberapa lokasi lain.
“Ini kerana di negara mereka, tiada pantai dan di sini mereka seronok serta teruja melihat pantai kita yang cantik.
“Manakala makanan ruji mereka adalah kambing, jadi di Malaysia kita perkenal mi goreng, nasi lemak, makanan laut dan pelbagai lagi tarikan, mereka menzahirkan rasa positif.
“Tahun 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia dan tahun ini juga Melaka menjadi hos untuk Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) jadi kita mahu mengambil peluang untuk membuka laluan udara baharu seterusnya memperkenalkan negara kita di mata dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.