Sorting by

×

MELAKA MAHU PIKAT PELANCONG DARI RUSIA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 April – Lebih 20 wakil industri pelancongan Melaka menghadiri Program Pengenalan Produk dan Sesi Padanan Niaga Bersama Agen Kembara dari Buryatia, Rusia dan Mongolia di sebuah hotel, di sini, semalam.

Pengurus Kanan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Asmaliana Ashari berkata penganjuran program itu bertujuan untuk memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada ejen kembara dari kedua-dua negara terbabit.

Katanya, program itu juga memperkenalkan produk-produk pelancongan utama Negeri Melaka seperti Menara Taming Sari, Bukit Batu Lebah, Sungai Melaka serta pelbagai lagi.

“Selain itu, menerusi program ini kita dapat bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai sisi pelancongan negara luar yang mana wakil kembara dari Mongolia dan Buryatia, Rusia turut membuat pembentangan serta taklimat mengenai lokasi pelancongan di sana.

“Kita melihat ini sebagai satu peluang menarik pelancong dari dua negara ini untuk datang bercuti dan mengembara keindahan Malaysia khususnya,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Hadir sama, Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Mint Leong dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Asmaliana berkata pada sesi padanan niaga, lebih lapan wakil kembara daripada dua negara terbabit merupakan pertama kali menjejak kaki ke Melaka.

“Kehadiran mereka di Malaysia selama 10 hari dan Melaka merupakan destinasi selepas Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

“Negara mereka tidak mempunyai pantai dan kepelbagaian budaya seperti di negara kita, di Melaka kita berikan konsep ‘Heritage Tourism’ yang mana kepelbagaian sejarah yang terdapat di Melaka sebagai kota warisan diketengahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post KES BUNUH WANITA DAN ANAK SAUDARA, POLIS RAKAM KETERANGAN LIMA SAKSI
Next post MITA CADANG BUKA LALUAN UDARA TERUS MONGOLIA KE MALAYSIA