Sorting by

×

‘RAYA TAK RILEKS’ DUYONG KENA SERBU

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 27 April – Suasana penghujung Syawal terus membara di Duyong apabila lebih 10,000 pengunjung membanjiri Jamuan Raya Tak Rileks @DuyongKITA di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, majlis itu terbukti berjaya memupuk semangat muhibah apabila ia dihadiri masyarakat berbilang kaum dari seluruh negara.

Membawa kelainan dengan tema ‘Raya Tak Rileks’ tahun ini, beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi,Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan tema itu dipilih kerana melambangkan semangat perpaduan penduduk Duyong.

“Kalau Duyong rileks, maknanya bumi pun berhenti berputar. Sebab itu kita kekalkan momentum dan semangat ini dalam suasana hari raya untuk semua.

“Untuk memastikan kelancaran majlis, tahun ini kita menyediakan minuman yang mencukupi untuk semua pengunjung. Manakala juadah makanan juga ditambah baik tahun ini dengan 21 jenis makanan di 48 gerai termasuk makanan tradisional India dan Cina,” katanya kepada pemberita.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Img 20250426 wa0036
ANTARA ribuan pengunjung yang memeriahkan Jamuan Raya Tak Rileks @DuyongKITA di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit.

Mohd Noor Helmy berkata, konsep jamuan raya terbuka tanpa menggunakan khemah masih dikekalkan pada tahun ini bagi menonjolkan semangat kebersamaan.

“Gerai makanan juga dipisahkan dari ruang makan supaya orang ramai lebih selesa dan teratur.

“Kita cuba buat yang terbaik untuk semua tidak kira bangsa dan agama, kerana raya ini untuk dikongsi bersama. Insya-Allah kita akan terus kekalkan semangat ini tahun demi tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post KBS LUPUS 30 GELANGGANG FUTSAL TERBIAR, KERUGIAN CECAH RM12 JUTA
Next post PPSPM SUSUN PELBAGAI ACARA MENJELANG WTD 2025