Sorting by

×

LALUAN SEHALA DI PEKAN DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 April – Pekan Durian Tunggal akan menjadi laluan sehala dalam usaha mengatasi masalah kesesakan trafik yang sudah lama membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, perancangan itu adalah hasil kajian lapangan dan lawatan teknikal yang dijalankan bersama pelbagai agensi tahun lalu.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri memaklumkan pelaksanaan itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan pergerakan trafik terutamanya ketika waktu puncak, cuti sekolah dan musim perayaan.

“Cadangan menjadikan jalan utama Pekan Durian Tunggal sebagai satu hala ini akan meningkatkan kapasiti jalan daripada satu lorong menjadi dua lorong.

“Ini sekali gus mengurangkan masa perjalanan yang selama ini boleh mencecah satu hingga dua jam pada waktu puncak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, selain itu, dua persimpangan lampu isyarat di kawasan itu juga akan dimansuhkan untuk memastikan aliran trafik lebih lancar.

“Hanya lampu isyarat di persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal akan dikekalkan bagi menjamin keselamatan pelajar dan ibu bapa.

“Pengurusan trafik sebegini sudah terbukti berjaya di lokasi-lokasi lain seperti Batu Berendam, Pusat Perniagaan Melaka Raya, dan Bandar Melaka. Kita akan bawa konsep yang sama ke Durian Tunggal.

“Dalam masa terdekat juga, sistem lampu isyarat di persimpangan Taman Desa Idaman akan dinaik taraf bagi menyokong aliran trafik yang lebih teratur mengikut hasil kajian kejuruteraan trafik yang telah dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahari berkata biarpun cadangan membina jejambat (flyover) menjadi pilihan jangka panjang, namun kosnya terlalu tinggi untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Selain kos yang tinggi, perancangan untuk membina ‘flyover’ mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan.

“Dengan kaedah satu hala ini, kita dapat solusi yang lebih cepat, kos efektif, dan manfaatnya terus dirasai rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4302
Kongsi :
Previous post PPSPM SUSUN PELBAGAI ACARA MENJELANG WTD 2025
Next post ‘BUKAN RAYA BIASA’