
MELAKA RAYU KPKT SEGERAKAN PEMBINAAN LOJI WTE
SUNGAI UDANG 26 April – Kerajaan Negeri meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelesaikan segera sebarang pemasalahan di peringkat kementerian itu bagi membolehkan pembinaan loji pemprosesan sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Sungai Udang dapat dilaksanakan segera.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan WTE di tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Sungai Udang itu sepatutnya bermula pada Jun tahun ini, namun sehingga kini ia masih lagi di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Katanya, segala urusan di peringkat Kerajaan Negeri antaranya membabitkan isu tanah semuanya sudah selesai dan sudah sedia untuk memulakan pembinaan loji tersebut yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Saya difahamkan Jun ini sepatutnya akan ada jalan penyelesaian selain perkara berkaitan bajet dan pemberian tender semuanya diuruskan oleh KPKT.
“Di peringkat Kerajaan Negeri kita berusaha dan bekerja namun ia mesti ada jawapan dari Kerajaan Persekutuan untuk itu saya berharap Menteri KPKT Nga Kor Ming dapat memberi perhatian.
“Kita merayulah kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya mendengar rintihan rakyat Melaka supaya pembinaan WTE ini dapat disegerakan,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Japerun Sungai Udang berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di Melaka Tropical Fruit Farm, di sini, hari ini.
Menurut Rais, pembinaan WTE mungkin akan mengambil masa yang lama justeru itu segala hal berkaitan perlu diselesaikan segera termasuklah pecah tanah bagi pelaksanaan projek itu.
“Pembinaan ini mungkin akan mengambil masa, tetapi sekiranya mereka (KPKT) telah selesai (peringkat kementerian) saya amat bersyukur ini bermakna sasaran untuk siap pada 2028 dapat dilaksana.
“Dalam hal ini juga ‘two way communication’ amat penting yang mana di peringkat Kerajaan Negeri kita sudah berusaha dan bekerja tetapi kita perlukan jawapan.
“Sebagai Exco bertanggungjawab saya tidak akan berhenti berusaha dan akan pastikan ia direalisasikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya.
Jelas Rais, selain projek WTE, turut akan dibina di tapak pelupusan sama adalah pembinaan sel baharu bagi menampung pengurusan sisa pepejal dengan lebih baik.
“Untuk projek ini ia telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan kini di peringkat penilaian alam sekitar (EIA).
“Malah kita turut merancang untuk membuka sebuah tapak pelupusan khas sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.