Sorting by

×

KKTM MASJID JADI RUJUKAN DALAM BIDANG TEKNOLOGI AUTOMOTIF

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 26 April – Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah menerima peralatan pengajaran dan pembelajaran disumbangkan sebuah syarikat Jepun menerusi inisiatif usahasama strategik dilaksanakan.

Menerusi satu kenyataan, KKTM Masjid Tanah memaklumkan sumbangan itu adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) melibatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Aichi Daihatsu Co Ltd yang ditandatangani Ogos tahun lalu.

Menurut kenyataan sama, menerusi MoU berkenaan kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang automotif dengan mewujudkan ‘Teaching Factory’ iaitu pusat latihan yang berorientasikan industri automotif di KKTM Masjid Tanah.

“Inisiatif ini merangkumi pelbagai bentuk kerjasama seperti pemindahan teknologi, latihan kepada pelajar dan tenaga pengajar serta pembangunan program-program khas selari dengan keperluan industri automotif semasa.

“Teaching Factory ini juga akan menjadi pusat rujukan latihan berteknologi tinggi dalam bidang automotif, bukan sahaja kepada pelajar MARA tetapi juga kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lain seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, KKTM Masjid Tanah juga akan mewujudkan Pusat Latihan Automatif (ATC) dan Akademi Latihan Pakar Teknikal (THETA) untuk latihan dalam bidang automotif.

“Lebih membanggakan MARA dan Aichi Daihatsu kini dalam proses membangunkan satu Program Perantisan dan Penempatan Kerja di bawah sistem ‘Specific Skilled Worker’ (SSW) yang diiktiraf Kerajaan Jepun.

“Menerusi program ini pelajar yang berjaya layak untuk bekerja di Jepun dengan tawaran gaji premium bergantung kepada bidang dan syarikat majikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

632
Kongsi :
Previous post SUSUN STRATEGI PASTIKAN MELAKA KEKAL DESTINASI PILIHAN PELANCONG
Next post MERCEDES S400 TERBAKAR, PEMANDU SELAMAT