Sorting by

×

SUSUN STRATEGI PASTIKAN MELAKA KEKAL DESTINASI PILIHAN PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 26 April – Kerajaan Negeri giat menyusun strategi dan melaksanakan inisiatif menarik bagi menggamit serta menggalakkan kunjungan lebih ramai pelancong ke Melaka sepanjang 2025.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, meskipun Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) berjalan lancar dan berjaya, namun Kerajaan Negeri akan sentiasa menambah baik strategi bagi memastikan Melaka terus kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong.

Katanya, antara inisiatif Kerajaan Negeri sepanjang TMM2024 yang membuahkan hasil adalah cabutan bertuah menerusi Kempen Beli Cenderamata & Menang menawarkan 12 buah kereta dan 24 buah motosikal pelbagai model.

“Saya yakin dan pasti Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, sedang menyusun strategi yang lebih baik sepanjang tahun ini.

“Susun atur strategi itu sudah pasti lebih baik berbanding TMM2024, tahun ini kita menyusun atau menaikkan standard bagi mencapai ‘international level’ (tahap antarabangsa) selaras dengan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) pada September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kereta BYD Atto Hadiah Cabutan Bertuah Tahun Melawat Melaka 2024 yang turut disertai Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad di Pejabat BPP Melaka, Kota Cemerlang, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kejayaan kempen yang dijalankan Kerajaan Negeri sepanjang TMM2024 juga adalah hasil sokongan pelbagai pihak yang tampil bagi menyumbang dan menaja hadiah menarik.

“Dalam merealisasikan kempen ini Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja yang bersama-sama menjayakan TMM2024.

“Justeru itu di pihak Kerajaan Negeri amat berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi dalam kita terus mengangkat Melaka sebagai destinasi pelancongan utama serta tersohor dalam kalangan pelancong sama ada tempatan atau antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post MPAG KOMITED JADI NADI PEMBANGUNAN, WADAH PERKHIDMATAN RAKYAT
Next post KKTM MASJID JADI RUJUKAN DALAM BIDANG TEKNOLOGI AUTOMOTIF