Sorting by

×

1,141 JEMAAH MELAKA TUNAI HAJI TAHUN INI, PALING MUDA 16 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PENGKALAN BATU 24 April – Seramai 1,141 jemaah Melaka menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, jemaah tertua berumur 81 tahun dari Merlimau dan yang termuda berusia 16 tahun berasal dari Banda Kaba.

Beliau berkata, kesemua mereka telah selesai melalui Kursus Perdana Haji 1446H/2025M bertempat Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.

“Jumlah jemaah haji dari Melaka pada tahun ini meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya dan dimaklumkan penerbangan pertama jemaah ini akan bermula pada bulan hadapan.

“Jadi, saya mendoakan semua jemaah akan dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Negeri Melaka Tahun 1446H / 2025M di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu; ketua-ketua agensi agama Islam Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, mewakili Kerajaan Negeri pihaknya turut menitipkan pesanan kepada jemaah haji pada tahun ini yang dijangka akan berdepan sedikit cabaran sepanjang menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

Katanya, perkara pertama yang perlu diberi perhatian kepada jemaah adalah dalam sudut cuaca, di mana kesemua mereka dijangka berdepan cuaca panas sepanjang ibadah tahun ini.

“Kedua adalah menunggu giliran memandangkan jumlah jemaah yang ramai, jadi ada di antara mereka terpaksa bersesak-sesak dan sebagainya.

“Manakala perkara terakhir adalah menempuh perjalanan yang jauh dan terpaksa berjalan kaki untuk menyempurnakan rukun seperti tawaf dan sebagainya.

“Jadi, saya berharap jemaah Melaka bersedia dengan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang menunaikan ibadah di tanah suci tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post PERBADANAN KETUA MENTERI RAIKAN RAKAN STRATEGIK PADA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI
Next post CABUTAN BERTUAH TMM2024 TUNAI IMPIAN PEMAIN SEPAK TAKRAW PANDU KERETA ELEKTRIK