
ANUGERAH MELAKA MEMBACA DILANCARKAN
PENGKALAN BATU 23 April – Anugerah Melaka Membaca yang diperkenalkan Kerajaan Negeri adalah penghargaan kepada mereka yang menjadikan pembacaan sebagai gaya hidup dan sumbangan kepada masyarakat.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, bukan sahaja individu bahkan pengiktirafan itu turut diberikan kepada semua pihak yang aktif mempromosikan budaya literasi dan ilmu.
Katanya, anugerah yang diperkenalkan dalam Bajet 2025 Negeri Melaka lalu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang juga bertujuan menyemai budaya ilmu melalui pembacaan.
“Menerusi anugerah ini ia juga diharap dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif pembacaan dari peringkat sekolah hingga ke akar umbi komuniti.
“Ini kerana kita mahu melihat lebih ramai tokoh membaca lahir dari Negeri Melaka, sama ada pelajar, guru, penjawat awam, ibu bapa mahupun golongan belia yang menjadi contoh kepada masyarakat melalui tabiat membaca termasuklah penyebaran ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Anugerah Melaka Membaca Sempena Program Jom Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, di Perpadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri yang juga merangkap Pengerusi PERPUSTAM Melaka, Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah PERPUSTAM Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.
Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, bagi memastikan dan menarik lebih ramai masyarakat membudayakan aktiviti membaca satu pendekatan baharu yang lebih mantap perlu dirangka.
“Kita perlu merangka dan memberikan satu pendekatan baharu yang lebih mantap serta agresif bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca.
“Kempen membaca ini dilihat mampu memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat serta merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pelbagai usaha untuk menggalakkan budaya membaca ini selaras dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah’.
Kempen Anugerah Melaka Membaca bermula April hingga 31 Julai, dengan mempertandingkan beberapa kategori antaranya kategori kanak-kanak, belia, dewasa, penjawat awam dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Johan setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000) berserta sijil dan piala iringan.
Dalam pada itu, sebanyak 1.9 juta pembaca direkodkan menerusi data terkumpul Program Jom Baca bermula 2014 hingga tahun lepas di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.