
DASAR MESRA PENIAGA DI MELAKA BUKAN RUANG AMBIL KESEMPATAN
AYER KEROH 23 April – Peniaga di sekitar Bandaraya Melaka diingatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, meskipun Kerajaan Negeri Melaka menerapkan dasar mesra peniaga, namun ia bukan tiket mana-mana pihak mengambil kesempatan.
Jelas beliau, ia memandangkan terdapat banyak isu-isu panas melibatkan peniaga dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak akhir-akhir ini.
Menurut beliau, di bawah MBMB, kesemua peniaga perlu mematuhi tiga perkara yang telah digariskan iaitu 3K, kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
“Pertama, mesti pastikan tempat berniaga bersih dan tidak meninggalkan barangan niaga atau khemah kerana ia dikhuatiri menjadi tempat berlindung untuk anjing mahupun haiwan terbiar dan menjadikan kawasan itu tidak bersih.
“Kedua tentang kesihatan seperti penyakit kulit, selain kita juga meminta semua peniaga atau pengendali makanan untuk mengambil suntikan tifoid iaitu vaksin yang melindungi daripada bakteria yang merebak melalui makanan atau minuman tercemar.
“Terakhir adalah keselamatan dan inilah antara yang paling penting terutamanya mereka yang cuba berniaga di tepi simpang. Ini bukan sahaja membahayakan mereka, bahkan pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV, baru-baru ini.
Atas faktor itu, Shadan menasihati semua warga bandaraya yang berniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan semua.
“Di pihak MBMB, kita akan sentiasa membantu walaupun peniaga kecil, namun mereka perlu memastikan kemudahan yang diberi dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.