
POLIS SIASAT SURI RUMAH BUAT LAPORAN PALSU DISAMUN
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah pada 3.39 petang semalam.
“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa barang kemasnya bernilai RM7,000 telah dilarikan dua suspek bermotosikal setelah dirinya ditahan dan diacukan pisau dalam kejadian di tempat sunyi pada 3.10 petang itu.
“Selepas disiasat, kejadian itu tidak berlaku dan pengadu sebenarnya telah meminjamkan barang kemas tersebut kepada rakannya namun dia tidak dapat dihubungi. Pengadu kemudian membuat laporan kononnya disamun kerana takut dimarahi suaminya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.
Azamuddin berkata wanita itu boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.