
MELAKA WUJUDKAN PUSAT INKUBATOR, GALAK USAHAWAN HASILKAN PRODUK SENDIRI
AYER KEROH 23 April – Melaka bakal meraih satu lagi pencapaian dalam landskap keusahawanan menerusi penubuhan sebuah pusat inkubator pada tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertubuhan ekonomi tempatan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata inisiatif itu adalah antara langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk menghasilkan produk sendiri.
“Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah pusat inkubator tahun ini sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan khususnya anak muda dan koperasi bercadang menghasilkan produk menggunakan jenama sendiri pada kos lebih rendah.
“Langkah ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bersama sebuah syarikat swasta dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hasil daripada mesyuarat penyelarasan yang diadakan baru-baru ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Allex Seah, pusat itu nanti akan dilengkapi mesin-mesin moden yang boleh digunakan oleh usahawan untuk pengeluaran pelbagai jenis produk.
“Melalui pusat inkubator ini, usahawan hanya perlu membayar kos sewaan mesin sahaja. Mesin-mesin yang disediakan bukan sahaja canggih, malah diselia oleh tenaga mahir.
“Ini akan membuka peluang kepada lebih ramai usahawan menghasilkan produk mereka sendiri tanpa beban kos permulaan yang tinggi.
“Mesin di pusat inkubator ini nanti boleh mengeluarkan produk dalam bentuk pepejal, cecair, serbuk, kimia dan kosmetik,” katanya.
Tambahnya, penubuhan pusat ini turut mendapat sokongan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang telah meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membangunkan kemudahan itu di Melaka.
“Pusat ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah usahawan di negeri ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui keusahawanan.
“Saya yakin cadangan ini akan memberi manfaat besar kepada usahawan dan koperasi yang selama ini bergelut dengan kekangan modal.
“Dengan sokongan semua pihak, kita boleh realisasikan pusat inkubator ini sebagai hab keusahawanan yang inklusif dan berdaya saing di Melaka,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.