
POLIS TAHAN WANITA CURI BEG DALAM PEJABAT PASUKAN BOMBA SUKARELA
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt C. Tharmalingam berkata berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pukul 10.20 malam Ahad apabila wanita berkenaan yang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan pejabat bomba sukarela itu.
“Ketika kejadian anggota bomba sukarela itu sedang tidur dan hanya menyedari beg sandang miliknya hilang selepas terjaga sebelum membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati wanita itu masuk ke pejabat berkenaan sebelum melarikan beg sandang milik mangsa, dan kami berjaya menahan suspek di Butterworth semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing turut didapati negatif serta suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Terdahulu, tular satu rakaman video CCTV berdurasi tiga minit 18 saat yang memaparkan seorang wanita bertopi keledar masuk ke dalam pejabat PBS sebelum melarikan beg sandang ketika seorang lelaki sedang tidur di atas sofa berhampiran. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.