
RUMAH TRANSIT JADI TEMPAT BERTEDUH SEMENTARA, SUSUN SEMULA KEHIDUPAN
SERKAM 23 April – Rumah Transit Rimbunan Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam bukan sekadar menjadi tempat berteduh sementara, sebaliknya membantu individu atau keluarga kurang bernasib baik membina semula kehidupan selepas melalui musibah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, sama seperti rumah transit di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain, kemudahan itu menjadi tempat berteduh sementara mereka yang dalam kesukaran seperti hilang pekerjaan, mangsa kebakaran, tertekan akibat konflik keluarga serta golongan asnaf.
Mengulas lanjut Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, setakat ini empat unit rumah transit disediakan di DUN Serkam sudah dihuni sepenuhnya.

“Ini menunjukkan keperluan mendesak terhadap kemudahan seumpama ini bagi masyarakat. Rumah transit ini bukan hanya untuk asnaf, tetapi juga untuk mereka yang menghadapi musibah mendadak.
“Kita mahu pastikan mereka ada tempat berteduh yang turut dilengkapi keperluan asas dan menerusi inisiatif ini, kita secara tidak langsung memberi peluang untuk mereka bangkit semula,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Bersama Nelayan Berdaftar Negeri Melaka di Dewan Kompleks Japerun Serkam, di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Saufi Affandi Talib.
Menurut Zaidi, individu atau keluarga yang layak dibenar berteduh di kemudahan itu tanpa dikenakan sebarang bayaran atau sewa, namun mereka perlu menanggung kos utiliti seperti bekalan elektrik serta air.
“Keperluan asas termasuk perabot juga disediakan bagi membolehkan penghuni menjalani kehidupan harian dalam suasana yang selesa.
“Tempoh maksimum penempatan adalah sembilan bulan, kerana ramai lagi yang memerlukan kemudahan ini. Masa diberikan cukup untuk mereka cari pekerjaan atau susun semula kehidupan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.