Sorting by

×

PERKENAL MENARA TAMING SARI KEPADA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 22 April – Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Forum Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) September nanti perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan pelbagai produk tarikan sekitar negeri ini termasuk Menara Taming Sari.

Menara yang mula dibuka kepada umum pada 2008 itu dikenal pasti memiliki potensi besar untuk terus menggamit lebih ramai pelawat antarabangsa ke Melaka dan setakat ini sudah menerima seramai 8 juta orang pengunjung tempatan juga antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, WTD dan WTC 2025 adalah acara besar dunia menerusi United Nations World Tourism Organization (UNWTO) dan Melaka bertuah kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah bagi sambutan tahun ini.

Berikutan itu Abdul Razak mahu, Menara Taming Sari yang juga antara ikon pelancongan utama negeri ini bersedia untuk menyambut tetamu dunia bakal berkampung di Melaka sepanjang kedua-dua acara berkenaan berlangsung.

“Lihat semua aspek termasuk mekanikal supaya kita memberikan yang terbaik kepada tetamu terutama dalam kalangan pemain industri pelancongan dunia, peluang besar ini perlu digunakan sebaik-baiknya untuk terus mempromosi, sekali gus menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan.

“Menjadi hasrat saya agar setiap tetamu yang datang khusus pemain industri pelancongan dunia, apabila pulang ke negara asal nanti nama Melaka terus menjadi sebutan mereka semua,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Menara Taming Sari di perkarangan menara ikonik itu, di sini, 17 April lalu.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Melaka Taming Sari Berhad, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka selain, pemain industri pelancongan tempatan.

WTD 2025 dan WTC 2025 dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 159 negara anggota.

Penganjuran itu turut melibatkan lebih 500 peserta sektor swasta UNWTO dan juga barisan Menteri Pelancongan, Ketua-Ketua Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan serta beberapa tokoh-tokoh industri pelancongan terkemuka antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post POLIS BURU LELAKI KES SAMUN RANTAI EMAS BERSENJATA PARANG
Next post SEMBILAN REMAJA LELAKI ANTARA 23 DITAHAN DALAM OPS MOTOSIKAL DI JOHOR