
KETUA POLIS BALAI DITAHAN POSITIF DADAH BAKAL BERDEPAN TINDAKAN TATATERTIB
Beliau berkata pegawai terbabit yang bertugas di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, telah ditukarkan serta-merta ke bilik gerakan IPK Pulau Pinang.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku jenayah, termasuk pegawai atau anggota sendiri tanpa mengira jawatan mahupun pangkat,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Rusdi berkata serbuan di pusat hiburan itu turut membawa kepada penahanan 17 individu termasuk seorang pegawai polis, dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pegawai terbabit positif dadah.
“Tindakan tegas akan diambil. Pegawai itu melakukan kesalahan jenayah dan disahkan positif dadah, maka tindakan tatatertib akan menyusul,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa anggota polis tidak dibenarkan mengunjungi pusat hiburan kecuali atas arahan dan tugasan rasmi, yang memerlukan kebenaran daripada pegawai atasan.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai polis berpangkat ketua polis balai berumur 43 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika berada di sebuah pusat hiburan.
Ujian air kencing mendapati kehadiran empat jenis bahan terlarang di dalam tubuhnya, dipercayai akibat pengambilan jus yang dicampur dadah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.