
SUNGAI RAMBAI LOKASI PENGANJURAN FESTIVAL HELLO KOMODITI 2025
SUNGAI RAMBAI 22 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sekali lagi dipilih menjadi lokasi karnival peringkat kebangsaan menerusi penganjuran Festival hello komoditi peringkat kebangsaan 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, bertempat di padang bola Kampung Seri Mendapat, festival itu bakal menghimpunkan pelbagai agensi-agensi berkaitan.
Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, karnival berkenaan dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Mei ini.
“Seri Mendapat dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana lokasinya yang berhampiran Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Univesiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, selain dikelilingi ladang kelapa sawit.
“Sebagai makluman, penganjuran ini adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan sudah berada di peringkat akhir pelaksanaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Sungai Rambai di Inap Desa Pak Abu, Sebatu, pada Ahad.
Menurut Siti Faizah, agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang akan mengetuai pelaksanaan penganjuran karnival adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Sepanjang tiga hari berlangsung karnival pelbagai program menarik disusun termasuk pertandingan seni mempertahankan diri Muay Thai, selain itu akan ada berita gembira akan diumumkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.