Sorting by

×

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI SUNGAI RAMBAI, KEMBALIKAN NOSTALGIA BERAYA DI KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI RAMBAI 21 April – Pemilihan rumah tradisional Melayu lama sebagai tapak penganjuran, menghidupkan kembali nostalgia menyambut hari raya di desa dalam kalangan tetamu yang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, semalam.

Lebih menarik apabila pelita dan lampu hiasan dipasang sepanjang laluan sepanjang satu kilometer ke tapak majlis, sekali gus menaikkan lagi ‘mood’ hari raya.

Berkonsepkan ‘dalam taman’ rumah terbuka yang berlangsungĀ  di Inap Desa Pak Abu, di Sebatu, di sini, menggamit kehadiran lebih 5,000 tetamu sekitar DUN Sungai Rambai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, kehadiran tetamu adalah diluar jangkaan kerana sasaran awal pihaknya cuma sekitar 3,000 orang

Katanya, ini kerana pihaknya turut menyusun penganjuran rumah terbuka atau jamuan Aidilfitri di sembilan kampung termasuk tiga daripadanya adalah berkonsepkan kongsi raya bersama masyarakat Cina.

“Kehadiran luar jangkaan, namun Alhamdulillah juadah disediakan untuk tetamu mencukupi, malah jam 10 malam masih ada yang baru sampai. Ini membuktikan penduduk Sungai Rambai mempunyai hubungan silaturahim yang amat baik.

“Menariknya kita turut menghidangkan hasil laut tempatan seperti udang, kupang dan kerang yang ditangkap oleh nelayan di Kuala Sebatu,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, berkata, pemilihan inap desa sebagai lokasi rumah terbuka bertujuan untuk mempromosikan produk pelancongan sekitar DUN Sungai Rambai termasuk pemandangan sawah padi yang mendamaikan.

Melengkapkan lagi penganjuran Majlis adalah kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post RV PARK TETC LENGKAP DENGAN KEMUDAHAN, ANTARA YANG TERBAIK DALAM NEGARA
Next post KEMPEN INTERNET SELAMAT DI SEKOLAH DIJANGKA BERMULA MEI INI