
RV PARK TETC LENGKAP DENGAN KEMUDAHAN, ANTARA YANG TERBAIK DALAM NEGARA
RIM 21 April – Pelbagai kemudahan asas yang lengkap menjadikan Taman Kenderaan Rekreasi (RV Park) di Taman Extreme Tasik Chinchin (TETC) antara yang terbaik dalam Malaysia.
Perkara itu diakui oleh Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman bersama 60 ahli persatuan terbabit yang melaksanakan simulasi di tapak tersebut.
Menurut Farman, pihaknya dijemput oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI) untuk melaksanakan simulasi selama empat hari tiga malam di kawasan rekreasi itu bermula Khamis.
“Untuk simulasi selamat empat hari tiga malam di RV Park TETC ini memang sangat menakjubkan, saya boleh katakan lokasi ini antara yang terbaik dan lengkap.
“Aspek fasiliti, boleh katakan memang agak sempurna yang mana pihak TETC menyediakan suis RV; sinki; kemudahan tandas yang bersih; ruang solat; taman tema air mini serta beberapa aktiviti sokongan sekitar lokasi ini.
“Dalam Malaysia, kalau saya pergi mana-mana negeri jika orang tanya lokasi mana yang mesra RV saya dan rakan-rakan persatuan pasti mengambil contoh Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Sempena Camper Rally Raya @ TETC.
Hadir sama, Pengurus Besar CMI Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.
Mengulas lanjut, Farman berkata pihaknya juga telah memaklumkan kepada pengurusan TETC untuk menambah baik beberapa perkara bagi menggamit kunjungan peminat kenderaan rekreasi terbabit.
“Sebagai contoh, landskap RV Park disediakan boleh ditambah baik dengan tanaman pokok-pokok hiasan dan batu-batu. Hal ini kerana negara kita bukanlah negara sejuk, apabila waktu siang cuaca agak panas dan berbahang.
“Namun bagaimanapun tidak banyak yang perlu ditambah baik, kerana pada saya kemudahan disediakan sudah sempurna, suasana alam semulajadi di sini menjadikan lokasi ini pasti akan mendapat perhatian pengunjung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.