Sorting by

×

LUAR BIASA MERIAH, LEBIH 50,000 BERAYA DENGAN KETUA MENTERI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

TANJUNG BIDARA 19 April – Meriah dan luar biasa! Itu gambaran suasana Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung berbilang kaum hadir memeriahkan majlis itu yang bermula sejak jam 3 petang hingga 11 malam.

Acara kemuncak pada sebelah malam diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Img 20250419 230354 494
AB Rauf mengiringi Tun Dr. Mohd Ali pada Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta lain-lain kenamaan

Terdahulu, pada sebelah petang, majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan kenamaan lain.

Tetamu yang hadir dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pentas, termasuklah nyanyian barisan artis popular tanah air seperti Datuk Awie; Datuk Nash; Azlan & The Typewriter; Ito Bluesgang dan Asmidar.

Img 20250419 230424 844
PERSEMBAHAN bertenaga daripada Datuk Awie. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sebanyak lebih 70 kios dan gerai makanan berserta 18 kendera saji (food truck) disediakan untuk menjamu tetamu yang hadir sepanjang majlis ini.

Antara juadah yang disajikan adalah seperti sate, kambing golek, ayam bakar, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta pelbagai lagi.

Sambutan pada malam itu turut diwarnai dengan percikan persembahan bunga api bagi menggamatkan lagi suasana.

Img 20250419 230409 104
PERCIKAN bunga api menggamatkan lagi suasana. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Ab Rauf ketika ditemui pemberita menyifatkan kemeriahan suasana pada majlis itu mencerminkan keharmonian dan perpaduan rakyat hasil daripada pentadbiran sebuah kerajaan yang stabil.

“Kita dapat lihat bukan sahaja masyarakat Melayu, tetapi juga Cina, India dan lain-lain bersama dalam majlis ini dan meraikan kepelbagaian yang ada.

“Kemeriahan yang tercipta ini sekali gus menjadi indikator bahawa sebuah kerajaan yang stabil dapat memberi pulangan kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3056
Kongsi :
Previous post SITI NURHALIZA BAKAL ‘GEGAR’ RUMAH TERBUKA KETUA MENTERI MELAKA MALAM INI?
Next post MPHTJ GEMPUR PENIAGA WARGA ASING