Sorting by

×

KERAJAAN STABIL BAWA PULANGAN KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 19 April – Kemeriahan suasana sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, menjadi satu indikator bahawa kerajaan yang stabil membawa pulangan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemeriahan itu secara tidak langsung mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri ini.

“Kita dapat lihat bukan sahaja masyarakat Melayu, tetapi juga Cina, India dan lain-lain bersama dalam majlis ini dan meraikan kepelbagaian yang ada.

“Tidak hanya itu, pemimpin-pemimpin utama negara turut hadir, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan majlis ini bersama seluruh rakyat Melaka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Terdahulu, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Img 20250419 185154 842
AB Rauf bergambar bersama kenamaan yang hadir memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; ketua-ketua jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sebaik bermula sejak jam 3 petang tadi, perkarangan Villa d’Acqua tidak putus-putus dipenuhi pengunjung meskipun berkeadaan cuaca tidak menentu.

Img 20250419 185545 583
SUASANA meriah pengunjung yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dianggarkan lebih 15,000 pengunjung telah membanjiri tapak majlis setakat jam 5 petang tadi.

Sebanyak lebih 70 kios dan gerai makanan tradisi berserta 10 kendera saji (food truck) disediakan bagi menjamu tetamu yang hadir.

Antara makanan yang disajikan adalah seperti sate, kambing golek, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta pelbagai lagi.

Pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air, antaranya Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Azlan & The Typewriter serta lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post TPM HADIR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KETUA MENTERI MELAKA
Next post SITI NURHALIZA BAKAL ‘GEGAR’ RUMAH TERBUKA KETUA MENTERI MELAKA MALAM INI?