
TPM HADIR RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KETUA MENTERI MELAKA
TANJUNG BIDARA 19 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahir Hamidi hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Kehadiran beliau kira-kira jam 5.25 petang disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Sebaik tiba, Ahmad Zahid sempat meluangkan masa menyantuni ribuan rakyat yang hadir di majlis tersebut.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; ketua-ketua jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sebaik bermula sejak jam 3 petang tadi, perkarangan Villa d’Acqua tidak putus-putus dipenuhi pengunjung meskipun berkeadaan cuaca tidak menentu.
Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung telah membanjiri tapak majlis setakat jam 5 petang tadi.

Sebanyak lebih 70 kios dan gerai makanan tradisi berserta 10 kendera saji (food truck) disediakan bagi menjamu tetamu yang hadir.
Antara makanan yang disajikan adalah seperti sate, kambing golek, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta pelbagai lagi.
Pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air bersama artis kebudayaan Melaka.
Pada malam ini, majlis akan diserikan pula dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.
Sambutan Rumah Terbuka Ketua Menteri Melaka akan berlangsung sehingga jam 11 malam ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.