
MELAKA TERIMA TAMBAHAN VAKSIN INFLUENZA
MACHAP JAYA 19 April – Kerajaan Negeri meneruskan program pemberian vaksin influenza secara percuma kepada warga emas di negeri ini selepas menerima tambahan 1,400 vaksin.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tambahan jumlah vaksin itu amat dinantikan selepas bekalan vaksin influenza peringkat pertama habis dalam tempoh yang singkat.
Katanya, bekalan vaksin influenza peringkat pertama sebanyak 2,000 diterima Melaka daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pertengahan Februari lalu.
“Jumlah diterima pada Februari lalu memang tidak mencukupi dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNM) Melaka menunggu agar ada tambahan dan akhirnya kita menerima berita gembira apabila ada tambahan 1,400 lagi.
“Vaksin ini akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, obesiti, kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang kronik atau penyakit paru-paru kronik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, di Taman Melaka Perdana, semalam.
Majlis rumah terbuka Aidilfitri itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Hee Sem, vaksin influenza yang diterima itu akan diedarkan kepada kira-kira 30 klinik kesihatan di seluruh Melaka sebelum diberikan kepada warga emas yang menepati kriteria dan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
“Slot janji temu diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan dan warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi disaran mengambil peluang termasuk membuat janji temu segera kerana jumlah dos yang tersedia adalah terhad,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.