
‘POGHUT’ AYER LIMAU BERAYA SAKAN
AYER LIMAU 19 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berlangsung dengan penuh kemeriahan apabila menerima jumlah tetamu luar jangkaan yang dianggarkan sekitar 12,000 hingga 13,000 orang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penganjuran rumah terbuka berkonsepkan kekeluargaan itu bukan sahaja meraikan penduduk atau ‘poghut’ Ayer Limau, bahkan tetamu sekitar Parlimen Masjid Tanah.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, meluahkan rasa gembira dengan jumlah kehadiran tetamu yang ramai termasuk mereka yang datang dari daerah lain dalam Negeri Melaka.
“Alhamdulillah hasrat saya untuk meraikan poghut Ayer Limau dan tetamu datang dari luar tercapai, meskipun ramai yang datang alhamdulillah makanan mencukupi untuk semua yang hadir kali ini.
“Sebelum ini saya umumkan kita menyediakan 30 jenis menu tetapi ditambah hampir 40 jenis makanan termasuk juadah tradisi, alhamdulillah perjalanan majlis berjalan lancar seperti disusun,” katanya ketika ditemui pada penganjuran Rumah Terbuka DUN Ayer Limau di perkarangan kediaman beliau di Kampung Seri Jeram, di sini, malam tadi.

Selain dihiburkan dengan nyanyian lagu raya bagi menghidupkan ‘mood’ Aidilfitri, persembahan bunga api dan menjamu selera, kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman turut menarik perhatian tetamu.
Turut menyerikan majlis adalah kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Yang turut hadir Speaker DUN, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketia Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.