
30 MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU SIAP TAHUN INI
RIM 18 April – Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH) menyasarkan akan membina 30 menara telekomunikasi baharu sepanjang tahun ini sekali gus menambah baik jaringan liputan jalur lebar di seluruh Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pembinaan menara telekomunikasi itu susulan daripada rungutan dan aduan berhubung capaian jalur lebar yang tidak begitu memuaskan di sesetengah tempat termasuk juga permintaan dalam kalangan wakil rakyat.
Katanya, dalam usaha merealisasikan hasrat itu pihaknya akan berkolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandangkan suruhanjaya itu menetapkan capaian liputan jalur lebar 100 peratus menjelang tahun 2025.
“Sasaran 30 pembinaan menara telekomunikasi baharu ini adalah di seluruh Melaka termasuklah tiga di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim yang mana pembinaan menara ini menggunakan penyelesaian Multi Operator Core Network (MOCN).
“Kita harap komitmen yang cukup baik diberikan oleh semua agensi kerajaan terlibat dalam memastikan (hal berkaitan) kelulusan tanah dan permit bangunan dapat diberikan segera.
“Kita akan cuba untuk selesaikan (pembinaan) menara telekomunikasi ini sekurang-kurangnya sebelum November akan dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara Telekomunikasi Ladang Diamond Jubilee Rim, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Shekh Alsagoof dan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Dr. Nazdiana Ab Wahab.
Menurut Fairul Nizam, pembinaan menara baharu itu lebih tertumpu kepada jaringan perkhidmatan jalur lebar 4G memandangkan lokasinya adalah di kawasan luar bandar.
“Menara telekomunikasi yang bakal dibina ini adalah lebih kepada 4G kerana ia banyak meliputi kawasan luar bandar termasuklah di Pulau Besar dan Kampung Chenderah.
“Untuk capaian liputan 5G ia mengambil kira beberapa aspek antara kepadatan penduduk dan kesesuaian namun begitu di Melaka kita sudah mencapai 85 peratus bagi liputan 5G,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri amat komited dan sentiasa melakukan penambahbaikan dalam memastikan rakyat khususnya mendapat capaian jalur lebar yang memuaskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.