
TAMAN TEMA SALJI MERCU PELANCONGAN BAHARU MELAKA
AYER KEROH 17 April – Taman Tema Salji yang pertama di Malaysia kini beroperasi di Melaka, sekali gus menjadi satu lagi mercu pelancongan baharu di bumi bersejarah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk pelancongan baharu itu antara yang diperkenalkan bersempena Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang dijadual pada September depan.
Menurut beliau, menariknya, taman tema itu turut menampilkan beberapa ikon pelancongan negeri seperti Jonker Walk, Kampung Morten dan Bangunan Merah di dalamnya, sekali gus membawa konsep lokaliti yang dekat dengan Melaka.
“Tidak hanya itu, harga tiket yang ditawarkan juga mesra rakyat iaitu RM48 untuk dewasa, RM43 untuk kanak-kanak dan warga emas, sementara OKU pada harga RM10 sahaja.
“Taman tema ini beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dan ia akan dibuka bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, kewujudan taman tema baharu itu sekali gus menampah kepelbagaian produk pelancongan yang ada di Melaka untuk menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong memandangkan Tahun Melawat Melaka kini dilanjutkan sehingga 2026.
“Jadi, datanglah ke Melaka kerana di sini macam-macam produk pelancongan ada untuk seisi keluarga dan tidak ada di negeri lain,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.