Sorting by

×

MELAKA NEGERI PERTAMA DIGITALKAN KAMPUNG, HAIWAN TERNAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 17 April – Seiring dalam era kemodenan dan digitalisasi masa kini, Melaka juga telah menjadi pelopor dan perintis kepada beberapa inisiatif baharu yang bakal mengubah landskap konvensional yang telah diguna pakai selepas era penjajahan.

Inisiatif itu adalah Kampung Digital yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam usaha menyeragamkan alamat kampung tradisional di Melaka dan kini ia telah menjadi rujukan di negara ini.

Menurut Ketua Menteri, dengan Kampung Digital, semua kampung-kampung diberi satu alamat baharu yang dilengkapi nombor rumah, lorong dan kod QR yang akan memudahkan pengesanan lokasi dilakukan di hujung jari.

“Setiap rumah menghala ke utara akan diberikan nombor, di mana rumah di sebelah kanan diberi nombor genap, manakala rumah di sebelah kiri diberikan nombor ganjil.

“Selain itu, setiap lorong-lorong juga akan dinamakan supaya satu sistem pentadbiran pengurusan masyarakat yang lebih baik dapat kita wujudkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena ulang tahun kedua pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Beliau memaklumkan, rentetan daripada inisiatif Kampung Digital, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Kod QR Haiwan Ternakan bagi mengatasi masalah haiwan-haiwan berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Justeru, beliau berkata, setiap pemilik haiwan ternakan diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftarkan haiwan ternakan mereka dan jika gagal, haiwan berkenaan yang berkeliaran boleh disita dan dilelong.

“Semua ini kita lakukan demi kesejahteraan rakyat dan juga pengguna jalan raya. Mereka ini ada anak-anak, suami atau isteri dan keluarga yang menanti di rumah dan jika takdir Allah SWT mereka meninggal dunia atas sebab langgar lembu siapa yang tidak sedih?

“Sebab itulah kita juga mahu haiwan ternakan ini seolah-olah mempunyai ‘kad pengenalan’, di mana jika berlaku kemalangan atau kecurian, kod QR yang disediakan ini dapat mengesan pemiliknya,” jelas beliau.

**Ikuti wawancara penuh bersama Ketua Menteri yang disiarkan dalam tiga bahagian di semua platform Melaka Hari Ini dan Melaka TV.

Pautan: https://www.facebook.com/MelakaHariIniOfficial/videos/692421326558681

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

710
Kongsi :
Previous post SM-WEZ KAWASAN ‘IBU NEGERI’ BAHARU MELAKA
Next post MAIM SEDIA SUMBANGAN UNTUK MUALAF MELAKA TUNAI HAJI