Sorting by

×

PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA SASAR LEBIH 4,000 PENYERTAAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 15 April – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2025 yang memasuki penganjuran edisi kelima menyasarkan penyertaan lebih 4,000 peserta.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pertandingan yang bermula hari ini disusuli kemuncak pertandingan yang dijangka pada 11 September depan akan mempertandingkan lima kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah, Kategori Sekolah Menengah, Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT), Kategori Bukan Melayu dan Kategori Awam.

Katanya, tarikh pendaftaran penyertaan dan penerimaan video bermula 15 April sehingga 7 Ogos sebelum saringan pertama dibuat pada 8 Ogos sehingga 15 Ogos seterusnya pusingan separuh akhir pula bermula pada 16 Ogos sehingga 22 Ogos dan kemuncak pada 11 September.

“Tahun lalu kita menerima keseluruhan penyertaan seramai 3,755 orang dan untuk tahun ini sasaran diletakkan lebih 4,000 peserta akan mengambil bahagian.

“Antara perubahan yang kita lakukakan pada tahun ini adalah pertukaran daripada kategori berpasangan atau bergandingan untuk Kategori Sekolah Rendah dan Menengah kepada individu.

“Pertukaran ini adalah untuk menaikkan nilai prestij dan kualiti peserta di peringkat sekolah khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut disertai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, pada edisi kali ini, turut diadakan penambahan hadiah, di mana juara keseluruhan akan membawa pulang RM1,000 termasuk sijil dan piala.

“Namun begitu Anugerah Khas seperti sebelum ini iaitu Persembahan Terbaik dan Anugerah Khas Juri dikekalkan.

“Hadiah wang tunai keseluruhan yang ditawarkan untuk kesemua kategori ini dianggarkan berjumlah lebih RM35,000 untuk dimenangi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS MAUT DILANGGAR KERETA KETIKA LINTAS JALAN
Next post ‘KUASA’ KEBERANIAN, IDEA DI LUAR KOTAK AB RAUF YUSOH