Sorting by

×

DENTUMAN ‘MANTERA’ MANA LAGI, MELAKA LER

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 15 April – Tahun Melawat Melaka (TMM) yang bermula pada 2024 yang lalu telah menyaksikan sektor pelancongan Melaka terus ‘meroket’ hingga merekodkan lebih 15 juta pelancong dan pengunjung dari dalam serta luar negara dalam tempoh setahun.

Selain menjadi tumpuan negara dan dunia, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, TMM juga menyaksikan satu dentuman ‘mantera’ baharu yang dikenali seantero dunia, iaitu slogan, ‘Mana Lagi, Melaka Ler’.

Jelas Ketua Menteri, ayat keramat itu merupakan satu idea terbaik dalam mempromosikan Melaka memandangkan ia berjaya mencipta pengaruh yang kuat dan menjadi sebutan ramai.

“Slogan ini cukup dikenali sehinggakan saya menyifatkan ia bukan sahaja satu letupan tetapi dentuman ke agensi pelancongan seluruh Malaysia dan telah mempromosikan Melaka dengan jayanya.

“Malah, bila pelancong datang ke negeri ini, secara spontan ayat itu disahut menjadikan nama Melaka itu semakin dikenali,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena ulang tahun kedua pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Menurut beliau, slogan ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ dilengkapi pula dengan lagu Senandung Anak Melaka yang terkandung pelbagai kisah dan keunikan bumi bersejarah ini.

Daripada makanan, budaya, peradaban dan perangai orang Melaka, semuanya disimpulkan dalam lagu ‘berhantu’ dendangan Yasser Atak sehinggakan ia juga telah dinyanyikan bersama artis-artis popular tanah air termasuk, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Antara yang terkandung dalam lagu tersebut adalah ‘kemesraan’ yang tersembunyi dalam orang Melaka yang mungkin nampak kasar tetapi sebenarnya bergurau. Ini kerana gurauan mengusik jiwa itulah merupakan satu titian sambungan silaturahim di antara masyarakat yang menjadi keunikan di Negeri Melaka.

“Senandung Anak Melaka ini jika dikaji secara terperinci, ia menguraikan semua yang ada di Negeri Melaka dari Kuala Linggi hingga ke Sungai Rambai,” katanya.

**Ikuti wawancara penuh bersama Ketua Menteri yang disiarkan dalam tiga bahagian di semua platform Melaka Hari Ini dan Melaka TV.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1123
Kongsi :
Previous post WRUR: KAEDAH BAHARU MERAKYATKAN PENTADBIRAN MELAKA
Next post MELAKA ANJUR BACAAN YASIN, TAHLIL UNTUK ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH