
WRUR: KAEDAH BAHARU MERAKYATKAN PENTADBIRAN MELAKA
SERI NEGERI 15 April – Dalam mengharmonikan masyarakat dan menyantuni denyut nadi rakyat, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah memperkenalkan satu program baharu yang dinamakan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Jelas Ab Rauf, WRUR itu merupakan satu kaedah dalam menterjemah tanggungjawab setiap wakil rakyat termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Beliau memaklumkan, program tersebut telah dimulakan di Kuala Linggi awal Januari tahun ini dan ia akan berterusan sehinggalah jelajah ke kesemua DUN dalam Negeri Melaka selesai.
Jelas beliau, pelbagai permasalahan dan isu rakyat akan disantuni menerusi program tersebut dengan penglibatan bukan sahaja Exco bertanggungjawab, tetapi juga pelbagai jabatan dan agensi terlibat.
“Memberi contoh aspek kebajikan rakyat, Exco yang dipertanggungjawabkan akan memberi lebih tumpuan dalam menyediakan pengurusan kebajikan yang lebih teratur dan terancang di setiap kawasan tumpuan dalam negeri ini dan begitu juga jika melibatkan aspek infrastruktur, prasarana serta lain-lain.
“Jadi, saya dan kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk jabatan dan agensi terlibat akan turun padang ke setiap kawasan bagi mendengar permintaan rakyat dan seterusnya mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
“Ini merupakan satu kaedah baharu bagaimana Kerajaan Negeri dapat mengharmonikan rakyat dan menyantuni masalah masyarakat melalui program WRUR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena ulang tahun kedua pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Ketua Menteri, di sini.
**Ikuti wawancara penuh bersama Ketua Menteri yang disiarkan dalam tiga bahagian di semua platform Melaka Hari Ini dan Melaka TV.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.