
‘KUASA’ KEBERANIAN, IDEA DI LUAR KOTAK AB RAUF YUSOH
SERI NEGERI 15 April – Tanggal 31 Mac 2025, genap dua tahun Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diberi amanah untuk mentadbir Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri ke-13.
Dalam tempoh itu, banyak ranjau dan onak telah ditempuhi, namun figura bergelar pemimpin ini tidak pernah berputus asa mahupun mengeluh, sebaliknya terus bersemangat sehingga menjadikan Melaka pada hari ini semakin ‘mendunia’ dan dikenali.
Bukan sahaja dalam negara, bahkan di luar negara, nama Melaka sudah terpahat sebagai antara pilihan utama dalam sektor pelancongan dan pelaburan.
Perkara itu, diungkapkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.
Meskipun begitu, Ab Rauf, anak jati Kampung Pulau, Masjid Tanah tidak mahu mendabik dada, sebaliknya berkongsi lebih banyak aspirasi dan hala tuju dalam terus mencorakkan dan mengembalikan kegemilangan bumi bertuah, Melaka.
Menurut Ketua Menteri, perjalanan sepanjang lebih 730 hari mentadbir Melaka bukanlah satu jalan yang mudah, sebaliknya pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi.
Namun, berbekalkan ‘kuasa’ keberanian dan idea-idea di luar kotak, beliau menghadapi segala jerih-perih itu dalam menyediakan sebuah dasar yang dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
Jelas beliau, dalam tempoh ini, sebanyak lebih 90 perancangan dan pencapaian telah dilakar sehinggakan Melaka berjaya menjadi contoh dan rujukan kepada negara dalam beberapa inisiatif, antaranya Nyanyian Lagu Negaraku pada setiap hari Isnin jam 10 pagi, Kampung Digital, Paramedik Komuniti dan lain-lain lagi.
“Bagi memastikan apa yang hendak dilakar ini dikecapi rakyat, ia tidak datang dalam sekelip mata, sebaliknya mesti mencerminkan satu dasar yang boleh dirasai segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
“Saya percaya, lebih 90 perancangan dan pencapaian ini masih lagi diukur mengikut sektor-sektor yang telah dikategorikan supaya landskap baharu Melaka yang dibawa ini memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena ulang tahun kedua pentadbiran Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Ketua Menteri, di sini.
**Ikuti wawancara penuh bersama Ketua Menteri yang disiarkan dalam tiga bahagian di semua platform Melaka Hari Ini dan Melaka TV.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.