
KEMUNCAK WRUR LENDU, SUNGAI UDANG PADA 31 MEI
ASAHAN 16 April – Perasmian penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan DUN Sungai Udang ditetapkan pada 31 Mei depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program WRUR di kedua-dua DUN tersebut akan berjalan serentak selama dua minggu bermula 18 Mei.
Katanya, majlis perasmian penutup itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan dilaksanakan pada dua sesi.
“Perasmian penutup DUN Lendu adalah pada sebelah pagi, manakala DUN Sungai Udang pula pada sebelah petang oleh Ketua Menteri.
“Lebih 70 program dirancang namun jumlah program dijangka bertambah di kedua-dua DUN namun kita sudah mengatur susun gerak kerja melibatkan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan pada Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Asahan di Taman Batang Melaka Jaya, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Pengerusi Penyelaras Program WRUR memaklumkan, sepanjang dua minggu, program itu akan turut melibatkan kerjasama dengan setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Kita akan bekerjasama dengan semua JPKK dalam DUN terbabit untuk laksanakan pelbagai program kerana kita tidak mahu ada golongan yang tertinggal atau tercicir.
“Setiap kampung, sama ada di Kampung Baru Cina, estet dan di taman-taman perumahan yang membabitkan semua kaum kita akan santuni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.