Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL BANTU TANGANI ISU KECICIRAN PELAJAR

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

MASJID TANAH 14 April – Bukan sahaja menyediakan alamat rumah yang lebih lengkap dan sistematik di kampung-kampung tradisional, bahkan inisiatif Kampung Digital juga berupaya memberi nilai tambah dalam sistem pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi Kampung Digital, Melaka telah menjadi negeri perintis dalam pelaksanaan transformasi pendigitalan, bermula dari lorong kecil rumah kampung sehingga ke bilik darjah sekolah, di mana kesemuanya bersambung dalam satu ekosistem digital yang lebih cekap dan tersusun.

Menurut beliau, antara impak daripada pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah ia boleh menangani isu keciciran pelajar yang kian meruncing.

Jelas Ketua Menteri, data yang diperoleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan lebih 400 pelajar sekolah menengah dan 27 pelajar sekolah rendah di Negeri Melaka telah tercicir daripada sistem pendidikan formal, selain 176 pelajar juga tidak hadir semua mata pelajaran semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Ujar beliau, antara masalah utama yang dihadapi adalah penggunaan alamat yang tidak lengkap atau tidak sah, termasuk alamat pukal dan nombor lot yang dikongsi lebih daripada tiga kediaman, sekali gus menyukarkan pengesanan pelajar terbabit.

“Bayangkanlah pernah berlaku seorang pelajar Tingkatan 4 tidak hadir ke sekolah hampir sebulan dan pihak sekolah telah berusaha menghubungi keluarga, namun tidak berhasil. Akibatnya pelajar ini terus tercicir daripada sistem pendidikan formal.

“Inilah realiti yang sedang kita hadapi dan inilah juga sebab mengapa inisiatif Kampung Digital amat signifikan bagi memastikan tiada lagi pelajar yang hilang dalam sistem akibat ketidaktepatan data alamat.

“Justeru, bagi menangani isu keciciran pelajar dan menyelesaikan kekangan pengesanan pelajar luar bandar, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkenalkan Inisiatif Kampung Digital dan dibawa ke sekolah-sekolah untuk memudahkan pemetaan data pelajar
serta memacu kecekapan sistem penyampaian pendidikan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ab Rauf, pemerkasaan inisiatif Kampung Digital ke sekolah-sekolah juga dapat memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak antaranya, guru dapat tahu dengan tepat di mana anak-anak murid berada dan memudahkan pihak sekolah merancang intervensi awal.

Selain itu, jelas beliau, pihak berkuasa boleh mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan sumber tambahan seperti sekolah baharu, guru tambahan atau bas sekolah.

“Ketiga, data pelajar yang lengkap membolehkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan merancang pembinaan sekolah serta kemudahan pendidikan lebih dekat dengan komuniti bagi meningkatkan akses dan keselesaan pembelajaran, terutamanya di kawasan terpencil.

“Saya percaya integrasi data daripada inisiatif Kampung Digital dengan sistem pendidikan mampu memperkemas proses pengesahan identiti dan pendaftaran pelajar sekali gus memudahkan urusan guru, pelajar, ibu bapa serta pihak berkepentingan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI HAB HELIKOPTER TERBESAR ASIA TENGGARA
Next post WARGA EMAS MAUT DILANGGAR KERETA KETIKA LINTAS JALAN