
PENIAGA NASI KERABU MAUT DIGILIS TRELER
TANGGA BATU 15 April – Remaja perempuan yang juga peniaga nasi kerabu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tangga Batu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Nurnie Alisya Mohamed Noor, 15 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tangga Batu menuju ke gerai nasi kerabunya yang berada di sebelah kanan Taman Tangga Batu Perdana.
Katanya, mangsa yang tidak lagi bersekolah menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai berada di arah kiri jalan cuba memotong lori treler yang berada di sebelah kanan jalan untuk menuju ke gerai jualannya.
“Ketika itu, berlaku pelanggaran di antara motosikal ditunggang mangsa dengan lori berkenaan dan mangsa telah maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan POL 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat,” katanya.
Christopher berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan.
“Kenderaan terlibat juga telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PUSPAKOM) bagi tujuan pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.