Sorting by

×

MELAKA LUNCUR INISIATIF SEKOLAH RINTIS KAMPUNG DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MASJID TANAH 15 April – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi dipilih sebagai Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital Melaka yang bakal mentransformasikan sistem pendidikan yang lebih sistematik terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif Kampung Digital kini diperluaskan ke sekolah-sekolah bagi memudahkan pemetaan data pelajar serta memacu kecekapan sistem penyampaian pendidikan secara menyeluruh.

Jelas beliau, menerusi inisiatif rintis itu, pelajar-pelajar sekolah akan didaftarkan dengan alamat baharu dalam Kampung Digital dan seterusnya setiap sekolah akan diberikan alamat emel domain @melaka.my sebagai salah satu instrumen dan medium baharu dalam sektor pendidikan melibatkan guru, ibu bapa dan pelajar.

“Jadi, saya berharap dengan projek rintis ini ia akan membuka lembaran baharu kaedah pengurusan masyarakat yang lebih terancang, teratur dan sesuai dengan peredaran zaman dunia digital sekarang.

“Dengan adanya emel domain @melaka.my ini, ibu bapa boleh terus berhubung dengan pihak sekolah mengenai segala perihal anak-anak mereka sama ada dalam sudut kehadiran, prestasi kehadiran dan sebagainya.

“Malah, saya juga mencadangkan selepas ini ibu bapa tak perlu lagi ke sekolah untuk mengambil kad laporan anak-anak mereka, sebaliknya semua boleh dihantar terus ke emel khas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital di SMK Hang Kasturi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, proses pengedaran alamat baharu itu akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025 begitu juga di semua 318 buah sekolah di Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1493
Kongsi :
Previous post SUKAN MEMANAH TRADISIONAL BERKEMBANG DI MELAKA
Next post KAMPUNG DIGITAL: MELAKA BERI SUBSIDI RM5 TUKAR KAD PENGENALAN