
MELAKA TUAN RUMAH KEJOHANAN MEMANAH TRADISIONAL KEBANGSAAN
Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat
TANJUNG BIDARA 16 April – Melaka sekali lagi dipilih sebagai lokasi penganjuran acara bertaraf nasional menerusi penganjuran kejohanan memanah tradisional kebangsaan dijadualkan berlangsung di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Kuala Sungai Baru pada 31 Mei dan 1 Jun depan.
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM), Zainurin Osman berkata, penganjuran kejohanan kebangsaan kali ketiga itu bakal melibatkan penyertaan lebih 700 pemanah tradisional dari seluruh negara.
Katanya, pemilihan UNIMEL sebagai venue utama adalah atas faktor persetujuan dan sokongan diberikan Persatuan Memanah Melaka (MELTRA), selain status Melaka iaitu sebuah destinasi pelancongan popular.
“Insya-Allah sepanjang dua hari pada tarikh berkenaan ramai pemanah tradisional akan berhampung di Melaka, bukan sahaja mempromosikan sukan memanah ini adalah antara usaha kami untuk membantu menarik pengunjung dan pelancong ke negeri ini.
“Sebenarnya Malaysia sudah melahirkan ramai pemanah tradisional bertaraf profesional malah kita pernah membawa pulang emas pada kejohanan dunia di Istanbul, Turkiye,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Memanah Tradisional Melaka Siri 8/2025 Piala Ketua Menteri Melaka berlangsung di Padang Bola Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, 13 April lalu.
Berkongsi mengenai perkembangan sukan memanah tradisional Zainurin berkata, setakat ini lebih 151 kelab sudah berdaftar secara rasmi dibawah TAAM, sementara itu 100 lagi sedang menunggu kelulusan pendaftaran.
Terdahulu majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal.
Yang turut hadir Presiden Persatuan Memanah Melaka (MELTRA) Mohd Irham Mohd Ihsan; Pengerusi Kelab Memanah Tradisional Seri Jeram (KEMETRAM) Abdul Rahman Mahad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Jeram, Abdul Rahim Yunus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
823