
LEBIH 10,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI TELOK MAS
TELOK MAS 13 April – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Padang Bola Taman Seri Telok Mas sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan hampir 20 jenis juadah sebagai hidangan kepada pengunjung.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata kelainan yang ditampilkan pada majlis rumah terbuka pada tahun ini adalah dengan menampilkan barisan artis tempatan Negeri Melaka.
“Tahun ini kita tampilkan barisan penyanyi kelahiran tempatan untuk menghiburkan pengunjung-pengunjung ke Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Telok Mas.
“Hidangan juga kita sediakan makanan wajib hari raya seperti lemang, ketupat, nasi himpit, ayam masak merah, sate dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.