Sorting by

×

Melaka galak masjid wujudkan tabung rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT KATIL 24 Dis. – Kesemua masjid di negeri ini digalakkan untuk mewujudkan satu tabung berasingan yang dipanggil tabung rezeki.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, fungsi tabung tersebut adalah khusus untuk kebajikan dan membantu mereka yang susah dalam kawasan masjid dan surau terbabit.

Jelasnya, dengan adanya tabung berasingan itu ia diyakini bukan sahaja dapat membantu mereka yang di dalam kesusahan bahkan berupaya menarik lebih ramai jemaah untuk hadir ke masjid.

“Di masjid-masjid sememangnya sudah ada tabung yang biasanya digunakan untuk pengimarahan, pengurusan, dan pembangunan masjid. Jadi apa kata diwujudkan satu tabung berasingan yang noleh kita gelar sebagai tabung rezeki.

“Jadi, wang derma yang dimasukkan ke dalam tabung tersebut bolehlah disalurkan kepada mereka yang susah atau musafir di kampung-kampung.

“Saya tahu ada separuh masjid sudah buat. Tapi saya harap dan galakkan lebih ramai lagi untuk berbuat sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pembudayaan Norma Baharu bersama Jawatankuasa Masjid dan Pegawai Syarak Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud; Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIM) Melaka Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Melaka Mohd Nasrul Menhat.

Dalam majlis itu, Sulaiman turut menekankan aspek integriti dalam tadbir urus masjid, yang mana beliau mengharapkan semua jawatankuasa yang dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Beliau turut meminta semua jawatankuasa mengadakan mesyuarat secara berkala, menyelenggara segala rekod perbelanjaan dan pengurusan dengan baik supaya ia boleh disemak JAIM dan MAIM.

Views:

660
Kongsi :
Previous post COVID-19: 418 sampel Pusat Koreksional Jasin masih menunggu keputusan
Next post Jabatan Penerangan jelajah 103 masjid seluruh Melaka