Sorting by

×

2,000 TETAMU MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN BUKIT KATIL

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT KATIL 11 April – Kira-kira 2,000 tetamu yang juga penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Katil, Dewan Datuk Demang Husin di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari berkata, kehadiran masyarakat pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang bangsa itu secara tidak langsung mampu merapatkan silaturahim.

Katanya, penganjuran itu mendapat sambutan menggalakkan kerana sebelum jam 8 malam tetamu sudah mula hadir untuk menjamu selera.

“Ini sebahagian daripada program Kerajaan Negeri dan kita dapat lihat penduduk pelbagai kaum hadir bersama-sama bagi meraikan sambutan ini.

“Malah kita merasakan bahawa menerusi sambutan Aidilfitri ini ia mampu merapatkan lagi hubungan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tetapi juga Kerajaan Perpaduan apabila turut dihadiri barisan pemimpin Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Katil yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Pegawai Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat.

Menurut Adly, kebersamaan dan keharmonian antara kaum yang ada pada masa ini penting untuk masa depan serta kesejahteraan rakyat Melaka khususnya.

“Misalnya dalam Kerajaan Perpaduan kita tahu ini adalah teras penting jadi program-program sebegini (rumah terbuka) adalah medium terbaik menyatukan rakyat,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, selain pengunjung dijamu dengan pelbagai juadah seperti nasi beriani, sate dan mi kari, Adly turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM
Next post PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT SETELAH ENAM HARI BERTARUNG NYAWA