Sorting by

×

MPHTJ SITA KERUSI, MEJA HALANG LALUAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 April – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan operasi sitaan melibatkan dua premis berhampiran Bulatan Gangsa di sini, semalam selepas dikesan meletakkan kerusi dan meja melebihi had dibenarkan dalam permit.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berikutan tindakan sedemikian menyebabkan halangan kepada laluan awam selain mengganggu kelancaran pergerakan di kawasan itu.

“Hasil operasi di dua premis menjual makanan itu kita menyita sebanyak 15 meja dan 51 kerusi, sebelum ini kita sudah beberapa kali mengeluarkan notis peringatan namun mereka masih ingkar.

“Kedua-dua premis memiliki dokumen dan premis perniagaan sah, tindakan diambil melibatkan pelanggaran syarat ditetapkan iaitu meletak kerusi dan meja melebihi had dibenarkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, pemilik perniagaan berkenaan berdepan kompaun sehingga RM1,000, selain perlu menanggung kos sitaan dan simpanan barang yang dirampas.

“Pemilik boleh menuntut semula barangan milik mereka dalam tempoh 14 hari, bayaran pula mengikut kadar ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan MPHTJ 2010.

“Kelulusan jumlah meja dan kerusi di luar premis perlu dimohon terlebih dahulu dan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Pelesenan MPHTJ berdasarkan kesesuaian lokasi dan aliran trafik setempat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pemilik premis makanan di negeri ini agar mematuhi syarat permit yang ditetapkan dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan serta keselesaan awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

822
Kongsi :
Previous post TRANSFORMASI TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN SEBAGAI LOKASI RIADAH PILIHAN
Next post LELAKI MENYAMAR PETUGAS MEDIA ANTARA 32 PENDATANG TANPA IZIN DITAHAN IMIGRESEN