Sorting by

×

TRANSFORMASI TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN SEBAGAI LOKASI RIADAH PILIHAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

RIM 10 April – Usaha untuk menjadikan Taman Ekstrem Tasik ChinChin sebagai lokasi riadah dan rekreasi pilihan utama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim sentiasa dijalankan menerusi kerja-kerja naik taraf kemudahan serta mengindahkan landskap sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata setakat ini pembangunan taman ekstrem tersebut kini telah mencapai kemajuan sekitar 60 hingga 70 peratus, dengan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan kemudahan, landskap serta pengisian aktiviti buat pengunjung.

“Sebenarnya sekitar tasik ini sudah dilengkapi infrastruktur asas, sekarang kita fokus untuk mentransformasikan persekitarannya supaya lebih selesa dan menarik.

“Kita juga sedang berusaha membangunkan semula beberapa lokasi rekreasi lain khusus melibatkan kemudahan sukan selain itu tumpuan juga diberikan kepada usaha membaik pulih kemudahan balai raya dalam DUN Rim,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa program Jamboree@Chinchin X Helaz yang dianjurkan tahun lalu telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Kerajaan Negeri.

“Program jamboree ini kini menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan negeri di bawah jenama Melaka International Mountain Bike Jamboree.

“Tahun ini, insya-Allah kita akan anjurkan lagi sekitar September atau Oktober. Ia akan menjadi acara tahunan dan produk pelancongan tetap bagi Negeri Melaka, khususnya di DUN Rim.

“Inisiatif ini bukan sahaja menarik lebih ramai pelancong ke kawasan luar bandar, malah diharap dapat merancakkan ekonomi setempat serta menyediakan ruang riadah berkualiti untuk penduduk,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post MALAYSIA ALU-ALUKAN PENANGGUHAN SEMENTARA TARIF LEBIH TINGGI AS – TENGKU ZAFRUL
Next post MPHTJ SITA KERUSI, MEJA HALANG LALUAN AWAM