Sorting by

×

5 ANAK MELAKA TERIMA BIASISWA SAMBUNG PENGAJIAN DI CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April – Seramai lima anak Melaka terpilih menerima biasiswa penuh daripada Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China bagi melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu merupakan bukti hubungan erat di antara Melaka dan wilayah tersebut yang telah terjalin sejak abad ke-15.

Menurutnya biasiswa itu adalah sebahagian daripada 15 tawaran diberikan kepada Malaysia sekali gus menjadi simbol keyakinan dan penghargaan Guangxi terhadap kerjasama kukuh yang terjalin dengan Negeri Melaka.

“Pemberian biasiswa ini perkembangan terbaik dalam hubungan dua hala antara kedua-dua wilayah yang berkembang luas dalam sektor pendidikan, pelancongan, budaya dan pembangunan ekonomi.

“Ini bukan sekadar peluang pendidikan untuk anak-anak Melaka, tetapi juga satu lambang kejayaan hubungan persahabatan dan persefahaman yang telah kita bina bersama Kerajaan Guangxi.

“Ia juga membuktikan bahawa kerjasama ini memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Terutama Lan Tianli, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidirah Abu Zahar; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, hubungan dua hala di antara Melaka dengan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang akan terus diperkukuhkan melalui beberapa siri persefahaman baharu dalam masa terdekat.

“Sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), sokongan dari Guangxi amat menggalakkan menerusi penyertaan kumpulan kebudayaan rasmi mereka semasa pelancaran TMM2024 serta peningkatan bilangan pelancong dari wilayah itu.

“Kita akan melihat beberapa perkembangan baru di antara hubungan dua hala ini akan merangkumi beberapa sektor yang memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua wilayah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post PEMAJU DIBERI TEMPOH SEBULAN BAIKI TEBING RUNTUH
Next post PELANCONG CHINA KE MELAKA MENINGKAT TIGA KALI GANDA