Sorting by

×

KPDN MELAKA KESAN 7 KESALAHAN TIDAK PAMER TANDA HARGA ‘PINK’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PENGKALAN BATU 10 April – Sebanyak tujuh kes membabitkan kesalahan tidak menggunakan penanda harga merah jambu dikesan sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 (SHMMP HRP 2025), di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, kesalahan itu dikesan pasukan penguatkuasa menerusi pemeriksaan keatas premis sepanjang pelaksanaan skim itu yang berakhir pada 7 April lalu.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan itu sebanyak 188 jumlah pemeriksaan dilakukan pasukan penguatkuasa dan hasilnya tujuh kes membabitkan kesalahan tidak menggunakan penanda harga merah jambu dikesan.

“Semua sedia maklum tanda harga khas ini perlu diletakkan oleh peniaga keatas barang-barang yang dikawal harganya sepanjang pelaksanaan SHMMP HRP 2025.

“Untuk ini bagi kesalahan ini, kompaun dan amaran diberikan selain untuk kesalahan ini individu atau peniaga boleh didenda sehingga RM10,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan pasca Aidilfitri KPDN Melaka di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, semalam.

Menurutnya, pada tahun ini pihaknya menerima sebanyak 25 aduan berkaitan harga sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP HRP 2025 berbanding hanya 21 aduan tahun lalu.

“Ini menunjukkan pengguna semakin peka dan sedar akan hak mereka apabila tampil melaporkan hal ini.

“Malah KPDN Melaka turut mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan selain kekalkan etika perniagaan yang baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1346
Kongsi :
Previous post 11 AGENSI AGAMA MELAKA BERGABUNG JAYAKAN SAMBUTAN HARI RAYA 24 APRIL INI
Next post JOM MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI TELOK MAS, SABTU INI