
PEMAJU DIBERI TEMPOH SEBULAN BAIKI TEBING RUNTUH
KLEBANG 9 April – Pemaju projek di Jalan Klebang – Melaka Raya diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan masalah tebing runtuh yang berlaku di kawasan tersebut.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan masalah menjadi lebih teruk.
Memandangkan projek tersebut masih di bawah pemaju, beliau juga meminta mereka bertanggungjawab untuk menyediakan langkah-langkah sementara bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemaju memohon untuk diberi masa bagi membuat reka bentuk dan sebagainya, jadi kita harap dalam tempoh sebulan masalah ini dapat diselesaikan.
“Ini kerana kita tidak mahu kerosakan menjadi lebih buruk terutamanya apabila berlaku fenomena air pasang besar di laut dan hujan lebat di sebelah darat,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi berlakunya tebing runtuh, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar.
Menurut Hameed, punca tebing runtuh itu adalah disebabkan pertembungan air pasang di laut dan hujan dari darat menyebabkan strukturnya tidak mampu menampung impak tersebut.
Beliau memaklumkan, disebabkan projek pembinaan masih berjalan, pemaju perlu mencari langkah terbaik, sebelum projek itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri atau JKR.
“Buat masa ini, mereka perlu menyelesaikan kerosakan yang berlaku di kawasan ini dan di pihak JKR, kita akan terus melihat keseluruhan kawasan bagi menilai penambahbaikan yang boleh dilakukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.