Sorting by

×

KANSER KOLOREKTAL: PEMBUNUH UTAMA KAUM LELAKI DI MALAYSIA

Masa Membaca:4 Minit, 56 Saat

Oleh: Datuk Dr. Shankar Gunarasa
Pakar Bedah Kolorektal dan Umum, Robotik dan Laparoskopi
Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka

Mugshot
DATUK DR. SHANKAR

DUNIA hiburan antarabangsa telah dikejutkan dengan pemergian pelakon utama Black Panther Chadwick Boseman pada bulan Sepetember 2020 yang lalu. Pelakon itu telah didiagnosis kanser usus tahap 3 yang telah meragut nyawanya. Setelah kematiannya, kanser usus dan rektum telah mendapat perhatian umum dan pencarian mengenai penyakit ini di laman sesawang semakin popular.

Apakah sebenarnya kanser kolorektal? Kanser ini dikenali juga dengan nama kanser kolon atau kanser usus yang menyerang bahagian lapisan usus dan rektum (bahagian usus besar yang terlibat dalam pencernaan makanan dan pembuangan bahan kumuh). Ia bermula dari polip iaitu benjolon di usus atau rektum, adakalanya polip ini bertangkai. Kalau disimpan lama ia akan menjalani mutasi sel.

Mutasi sel-sel ini yang digabungkan dengan kegagalan gen untuk membuang sel yang bermutasi akan menyebabkan pembahagian sel yang tidak terkawal. Apabila kanser telah mula membesar sejak beberapa tahun, ia bukan sahaja dapat mengambil ruang organ-organ yang lain, tetapi menembusi juga saluran darah yang menyebabkan kanser ini merebak.

STATUS KANSER KOLOREKTAL

Apakah status kanser kolorektal di kalangan rakyat Malaysia ? Menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016, secara keseluruhannya, kanser kolorektal merupakan kanser yang kedua paling kerap berlaku (13.5%) di Malaysia, selepas kanser payudara (19%). Dari segi jantina pula, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.9%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%). Senario ini lebih memudaratkan rawatan bila lebih 70 peratus kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 serta 4 iaitu masing-masing 72.4 peratus dalam kalangan lelaki dan 73.1 peratus dalam kalangan wanita.

Bagaimana pula di Melaka ? Berdasarkan statistik kanser di Melaka pada tahun 2012, kanser kolorektal adalah kedua terbesar dalam kalangan lelaki dan kedua terbesar di kalangan wanita selepas kanser paru paru dan kanser payudara, pada kadar 16.5 peratus dan 13.6 peratus dari semua jenis kanser yang telah didiagnosis di Melaka dari tahun 2007 hingga 2011.

Masalah kanser kolorektal di Malaysia juga telah membebankan negara dari segi ekonomi. Hasil kajian yang dibuat pada 2012, beban kos merawat kanser kolorektal yang baharu telah mencecah hampir RM108 juta. Ini tidak termasuk kos tambahan bagi sesetengah kes kanser kolorektal tahap 4 yang memerlukan rawatan tersasar monoclonal antibodies atau terapi biologi seperti cetuzimab dan bevacizumab yang memerlukan kos tambahan sebanyak RM20,000 – RM40,000. Rawatan yang awal dapat mengurangkan kos dan juga bebanan tanggungan kerajaan.

Dogma kanser kolorektal yang hanya berlaku pada golongan yang berusia atau tua tidak tepat sama sekali. Dengan golongan muda yang gemar memakan makanan segera, makanan yang kurang serat, cara hidup yang sentiasa sibuk dan keutamaan bersenam diabaikan, kanser kolorektal semakin menular pada usia yang lebih muda.

Berdasarkan statistik MNRC dari tahun 2003-2005, hampir 14.6 peratus kanser kolorektal dihidapi oleh golongan usia kurang daripada 50 tahun dan 7 peratus pula dari golongan usia kurang daripada 40 tahun.

Kajian juga menunjukkan kaum Cina di Malaysia lebih cenderung menghidap kanser kolorektal berbanding dengan kaum Melayu dan India. Nisbah pecahan kes kanser kolorektal tahunan per 100,000 penduduk untuk kaum Cina adalah 28.3, manakala kaum India 14.3 dan kaum Melayu 11. Pecahan nisbah ini juga dapat dilihat bagi ketiga-tiga kaum ini di Singapura iaitu 34.1 , 16.1 dan 26.1 masing-masing.

Selian fakta usia dan etnik, antara fakta lain yang boleh menjadi punca masalah kanser kolorektal adalah pertalian darah atau genetik yang mempunyai polip kolorektal atau kanser kolorektal dan sindrom genetik yang berkaitan dengan kanser seperti ‘familial adenomatous polyposis (FAP)’ atau ‘hereditary non-polyposis colorectal cancer’.

Selain itu , penyakit radang usus seperti ‘ulcerative colitis’ dan ‘Crohn’s disease’ boleh dalam jangka masa yang panjang melarat menjadi kanser kolorektal.

Di samping itu mengenali tanda-tanda awal seperti pembuangan najis berdarah, tidak rasa kepuasan selepas pembuangan najis, sering sembelit atau cirit-birit lebih dari dua minggu, hilang berat badan secara mendadak, sakit perut yang berpanjangan adalah amat penting.

Sekiranya anda mempunyai tanda tanda ini, anada perlu manjalani ujian saringan.

Shankar kolorektal 3
KANSER usus bermula dari polip.

UJIAN SARINGAN KANSER KOLOREKTAL

Antara ujian saringan yang dimaksudkan adalah sigmoidoskopi atau kolonoskopi. Kaedah ini dijalankan dengan mengunakan tiub flexible berhujungkan kamera dan dimasukkan di hujung dubur untuk melihat polip atau atau ketulan di usus. Sekiranya polip dijumpai, polypectomy akan di lakukan dan proses ini sangat mustahak.

Kajian telah menunjukkan polypectomy dapat mengurangkan risiko kanser kolorektal hampir sebanyak 63 – 90 peratus. Oleh itu, ujian saringan dengan kolonoskopi atau sigmoidoskopi sangat mustahak untuk mengesan gejala ini dari peringkat awal lagi.

Kaedah rawatan kanser kolorektum termasuk pembedahan (secara konvesional atau laparoskopi), kemoterapi, radioterapi dan rawatan sasar seperti monoclonal antinody atau terapi biologi. Pembedahan adalah rawatan utama dalam kanser kolorektal.

Bergantung kepada peringkat kanser yang dialami, sesetengah pesakit mungkin memerlukan kemoterapi selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser berulang lagi. Berlainan pula untuk kes kanser rektum, sesetengah pesakit mungkin memerlukan radiokemoterapi untuk mengecutkan tumor sebelum pembedahan dijalankan.

Malah sesetangah pesakit tahap 4 kanser perlu juga dikeluarkan stoma terlebih dahulu sebelum menjalani kemoradioterapi.

ELAK KANSER KOLOREKTAL

Bagaimanakah kanser kolorektal dapat dielakkan? Satu soalan yang sering saya terima daripada pesakit. Amalkanlah pengurusan diri yang baik dengan banyakkan meminum air, memakan makanan seimbang dan kurangkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan pada usus besar anda (makanan pedas atau berempah, keras dan alkohol).

Akitiviti bersenam dapat mengurangkan masalah obesiti iaitu antara faktor yang dikaitkan kepada kanser kolorektal. Hindarkan merokok dan minuman keras. Sekiranya ada di antara pertalian darah terdekat menghidap kanser, anda juga perlu menjalankan ujian saringan yang lebih awal.

Sekiranya anda perlu mengetahui lebih lanjut bertentangan kanser kolorektal atau perlu menjalani ujian saringan, anda boleh berhubung dengan saya, Datuk Dr. Shankar Gunarasa, Pakar Bedah Umum, Laparoskopi dan Kolorektal di Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka di talian 06 2319999 Samb; 2131.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post CABUTAN BERTUAH MENANTI TETAMU RUMAH TERBUKA AIDILFITRI ASAHAN
Next post #DUYONGKITA ‘BERAYA’ DALAM STADIUM