
#DUYONGKITA ‘BERAYA’ DALAM STADIUM
DUYONG 8 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada 26 April depan menampilkan kelainan apabila bakal berlangsung di dalam stadium.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, lokasi tersebut adalah di dalam Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit berbanding tahun-tahun sebelumnya di sebelum stadium berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, lokasi baharu itu dijangka mampu memberi lebih keselesaan kepada pengunjung memandangkan dalam stadium mampu memuatkan lebih 10,000 pengunjung.
“Sebelum ini, kita pernah menganjurkan Larian Budaya Antarabangsa #DuyongKITA di dalam studium berkenaan di mana ia boleh memuatkan 17,000 peserta, oleh sebab itu kita mengambil keputusan Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini diadakan di lokasi sama.
“Jadi orang ramai sama ada warga Duyong atau luar Duyong dijemput untuk memeriahkan majlis ini yang akan bermula pada jam 8 malam sehingga selesai,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Menurut Mohd Noor Helmy, jika tahun lalu Rumah Terbuka Duyong menampilkan watak-watak ikon Duyong, tahun ini juga akan ada kelainan ditampilkan.
“Sudah pasti tahun ini ada perbezaan, namun jika mahu tahu, tunggu masanya nanti kerana kita mahu bawa elemen kejutan,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.