Sorting by

×

346 KEMALANGAN DIREKODKAN SEPANJANG OP SELAMAT 24

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 7 April – Tiga kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh enam hari pelaksanaan Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 yang berakhir 3 April lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sepanjang berlangsungnya Op Selamat 24 bermula pada 29 Mac, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan sebanyak 346 kemalangan bagi seluruh negeri berbanding 404 kes sebelum ini.

“Ada penurunan sebanyak 58 kes, kemalangan maut juga menurun dengan hanya tiga kes dilaporkan berbanding lima sebelum ini. Sementara itu kemalangan menyebabkan cedera parah turut merekodkan penurunan dengan lima kes dilaporkan berbanding tujuh pada Op Selamat sebelum ini.

“Sepanjang tempoh sama kami mengeluarkan sebanyak 2,784 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, ada berlaku peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2,478 pada tahun lalu,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, sepanjang berlangsungnya Op Selamat 24 juga Polis Kontinjen Melaka berjaya merekodkan sifar kejadian pecah rumah hasil daripada rondaan dilakukan pihaknya.

“Sejumlah 428 pemakluman laporan balik kampung telah diterima oleh Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang dibuat menerusi aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’, talian Hotline MERS 999 selain secara manual iaitu menggunakan borang disediakan di balai polis.

“Susulan itu rondaan telah dijalankan membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan patrol balai dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,663 rondaan dilakukan keatas premis dimaklumkan.

“Susulan itu, Polis Melaka telah berjaya merekodkan sifar kes pecah rumah terhadap premis yang terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post REMAJA OKU HILANG DITEMUI DI SUNGAI PETANI
Next post PEMANDU LORI MAUT DIHEMPAP LORI TANAH 10 TAN DI ANTARA GAPI