Sorting by

×

TAMBAKAN LAUT ATASI HAKISAN PANTAI TELOK GONG

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LINGGI 7 April – Projek tambakan laut bagi mengatasi masalah hakisan berlaku di Pantai Telok Gong di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bukan sahaja melegakan penduduk sekitar, malah dijangka mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan apabila siap sepenuhnya kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah berkata, projek dimulakan bulan lalu melibatkan tambakan pantai sepanjang lebih dua kilometer dari Pantai Telok Gong hingga ke Sungai Tuang di Pengkalan Balak.

“Alhamdulillah kerja-kerja tambakan laut sudah dimulakan, semuanya dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan kos lebih RM16 juta.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini diharap akan mengatasi masalah hakisan yang berlaku sepanjang pantai berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Japerun Kuala Linggi, di sini, semalam.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman menyerikan lagi majlis yang menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan penduduk sekitar DUN Kuala Linggi.

Selain itu kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, bersama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri melangkapkan lagi penganjuran majlis.

Selain itu berkongsi perkembangan pembangunan DUN Kuala Linggi, Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, pihaknya kini sedang dalam proses untuk menjayakan perancangan membina sebuah masjid baharu.

Menurutnya, masjid mampu menampung kapasiti 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu dicadangkan dibina di tapak di Kampung Baru.

“Insya-Allah tidak lama lagi Kuala Linggi akan ada sebuah masjid DUN yang baharu. Sekarang masih pada peringkat cadangan yang mana kerja-kerja mengenal pasti tanah sedang dilakukan. Namun kita juga giat mencari dana dalam usaha merealisasikan hasrat penduduk sekitar DUN Kuala Linggi untuk mendapat sebuah masjid baharu,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

923
Kongsi :
Previous post JALAN PINTAS BAHARU DUN RIM JIMATKAN 15 MINIT MASA PERJALANAN
Next post SIDANG DUN MELAKA PENGGAL KEEMPAT PADA 25, 28 DAN 29 APRIL INI