
JALAN PINTAS BAHARU DUN RIM JIMATKAN 15 MINIT MASA PERJALANAN
RIM 7 April – Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Asahan dan Nyalas bakal menikmati satu lagi kemudahan hasil inisiatif Kerajaan Negeri apabila projek jalan pintas baharu menghubungkan Simpang Kerayong ke Bukit Katong yang dalam pembinaan kini hampir siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata pembinaan fizikal laluan baharu itu telah mencapai tahap 80 peratus siap dan kini hanya melibatkan kerja-kerja akhir seperti kemasan jalan.
“Jalan pintasan sepanjang 15 kilometer ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk, terutamanya mereka berulang-alik dari arah Asahan dan Nyalas menuju ke kawasan Rim atau ke Lebuh Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Tol Merlimau.
“Kalau dulu pengguna dari Asahan atau Nyalas mahu ke Rim, mereka perlu memandu lebih jauh melalui Merlimau.
“Dengan adanya jalan baharu ini, mereka boleh potong terus ke Simpang Kerayong dan dapat menjimatkan masa antara 10 hingga 15 minit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Khaidhirah, projek baharu itu dijangka dibuka kepada umum pada tahun ini, sekali gus menamatkan penantian penduduk sekitar memerlukan laluan alternatif lebih menjimatkan masa perjalanan.
“Selain DUN Rim, projek ini turut memberi manfaat kepada penduduk di sekitar seperti mereka di DUN Asahan, dengan membuka lebih banyak akses kepada kemudahan awam, pusat perniagaan dan jaringan jalan utama.
“Jalan ini bukan hanya bantu orang Rim, tetapi juga penduduk DUN Asahan dan sekitar. Projek ini akan memberi impak besar daripada segi pergerakan harian, ekonomi dan keselamatan jalan raya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.