
7,000 MERIAHKAN RUMAH TERBUKA DUN RIM
RIM 5 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Dewan Bendahara MRSM Tun Ghafar Baba, malam tadi disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, majlis yang bermula pada jam 8 malam itu menjadi tumpuan penduduk dari seluruh kawasan DUN Rim dan sekitarnya.
“Tidak ketinggalan juga keluarga dari luar kawasan yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri dan mengambil kesempatan menghadiri rumah terbuka bersama anak-anak mereka.
“Sambutan luar biasa ini mengatasi jangkaan awal kita sekitar 5,000 pengunjung.
“Saya bersyukur dengan sambutan diterima ini, ternyata lokasi ini sangat strategik kerana ia berada di tengah-tengah kawasan serta mudah diakses dari pelbagai arah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu rumah terbuka berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman.
Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Khaidhirah berkata, rumah terbuka DUN Rim tahun ini diadakan lebih awal bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk serta keluarga dari luar kawasan untuk turut serta.
“Kemeriahan majlis turut diserikan dengan suasana penuh warna-warni hasil pencahayaan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta kawalan lalu lintas dan keselamatan yang teratur hasil kerjasama anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Saya amat menghargai usaha semua pihak yang menjayakan majlis ini daripada petugas teknikal, sukarelawan, penyedia makanan, sehinggalah pihak keselamatan.
“Rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.